Johor Bahru: Dalam komitmen memperkukuh dan menyokong sukan Malaysia serta menyemarakkan semangat atlet tempatan, KFC meneruskan kerjasama bersama Johor Motorsports Racing (JMR) buat tahun kelima. 

Pengerusi QSR Brands Tan Sri Jamaludin Ibrahim, berkata perkongsian berkenaan bukan sahaja melambangkan kerjasama dalam sukan permotoran, tetapi komitmen terhadap perkembangan dan kesejahteraan Malaysia.

Sehubungan dengan itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brands, Nehchal Khanna, berkata KFC Malaysia sangat teruja dan komited tentang kerjasama dengan JMR yang memasuki tahun kelima, tahun ini.

Katanya, komitmen yang tinggi dan usaha keras Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim, dalam sukan permotoran terbukti melalui kejayaan yang telah baginda berdua kecapi di peringkat antarabangsa.

Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda negara ini terhadap potensi diri mereka yang mampu dikecapi dengan usaha dan kerja keras. 

Tunku Abdul Rahman (kiri) bersama Tunku Abu Bakar (kanan) ketika berkongsi pengalaman menyertai perlumbaan sukan permotoran antarabangsa.

KFC Malaysia yang juga syarikat tempatan sepenuhnya akan terus menyokong usaha JMR memperkembangkan sukan permotoran di negara ini terutama kepada generasi muda di seluruh negara.

“Kami merasa sangat bangga kerana diberi peluang untuk menyokong sukan dan atlet Malaysia yang bersemangat waja yang mempunyai tekad untuk cemerlang dan meletakkan nama Malaysia di pentas antarabangsa dalam bidang sukan yang mereka ceburi,” katanya.

Baginda bertitah demikian pada sidang media selepas majlis KFC X JMR Youth Session, di sini, Sabtu lalu.

Terdahulu, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar berkongsi pengalaman menyertai perlumbaan sukan permotoran antarabangsa kepada pelajar daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar turut menunjukkan model Mercedes AMG GT3, yang digunakan baginda berdua pada siri perlumbaan di Asia dan Australia.

KFC Penaja Pertama JMR

Dalam pada itu, Tunku Abdul Rahman berharap kerjasama antara JMR dan KFC berterusan termasuk dalam mengadakan program KFC X JMR Youth Session di seluruh negara.

Tunku Abdul Rahman bertitah, KFC Malaysia adalah penaja pertama JMR terutama apabila baginda menyertai perlumbaan GT World Challenge 2019 di Sepang.

“Dunia sukan permotoran masih membangun di negara ini dan saya harap JMR dan KFC dapat buat lebih banyak sesi libat urus bukan sahaja di Johor malah seluruh negara.

“Saya tahu ramai pelajar yang minat dengan dunia permotoran dan kejuruteraannya, jadi jika kita dapat buat lebih banyak lagi sesi libat urus dengan generasi muda, saya rasa ia bagus untuk industri sukan permotoran negara,” katanya.

Ditanya sama ada baginda tidak bimbang dengan kerjasama JMR bersama KFC berikutan syarikat makanan berkenaan kononnya dikaitkan dengan Israel, Tunku Abdul Rahman bertitah, baginda tidak risau berikutan KFC Malaysia dimiliki sepenuhnya syarikat tempatan.

“Saya sememangnya amat menjaga imej JMR kerana ia sangat penting namun KFC Malaysia adalah sebuah syarikat milik Malaysia di mana Johor Corporation (JCorp) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah pemegang saham utama.

“KFC Malaysia ada 30,000 pekerja dan 86 peratus daripadanya adalah Muslim. Saya amat yakin dengan KFC apatah lagi ia diuruskan syarikat tempatan, QSR Brands,” titah baginda.

Follow us on
Contact US

QSR Brands (M) Holdings Bhd. (201101011105)

Menara QSR, VSquare @ PJ City Centre, Jalan Utara,
46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia

Halal Logo
Connect With Us

Send a message

    LinkedIn
    Instagram
    Facebook