qsr-icon-2023-1

KUALA LUMPUR 16 Okt – Industri makanan dan minuman (F&B) telah menonjolkan perubahan besar ketika pandemik COVID-19 melanda negara dengan memanfaatkan pendigitalan agar perniagaan kekal berdaya tahan susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang melarang pelanggan untuk makan di kedai.

Menelusuri Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), ramai menganggap automasi industri mengurangkan keperluan menggunakan tenaga kerja manusia, yang boleh menyebabkan syarikat memberhentikan pekerja.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Maklumat QSR Brands (M) Holdings Bhd, Chong Chin Kan menyangkal dakwaan tersebut, di mana dua jenama ikonik di bawah syarikat itu – KFC dan Pizza Hut – telah menyaksikan automasi industri yang mempertingkatkan kecekapan dan produktiviti hampir 30,000 pekerja syarikat tersebut.

Chong Chin Kan
Chong Chin Kan

“Bertentangan dengan kepercayaan umum bahawa pelaburan dalam pendigitalan menyebabkan jumlah tenaga kerja dikurangkan, kami telah membuktikan sebaliknya. COVID-19 amat mencabar dan banyak syarikat memberhentikan pekerja namun kami tidak melakukannya. Malahan pendigitalan telah membantu meningkatkan kecekapan pekerja kami,” katanya dalam wawancara bersama DagangNews, baru-baru ini.

Dengan 850 cawangan KFC di Malaysia, Singapura, Brunei dan Kemboja, serta hampir 500 Pizza Hut di Malaysia dan Singapura, Chin Kan berkata pelaburan syarikat multinasional itu dalam pendigitalan adalah sejajar dengan visi untuk menjadi syarikat teknologi makanan terkemuka di rantau ASEAN.

“Bagi mencapai visi tersebut, pelbagai inisiatif dirangka untuk mendigitalkan operasi dan jenama kami, dari pejabat Pengarah Urusan hingga ke peringkat pekerja di restoran. Kami telah memperuntukkan kira-kira 2.2% daripada pendapatan kami kepada pendigitalan dan teknologi maklumat (IT),” katanya.

Menurut beliau, perbelanjaan bagi transformasi digital dianggarkan RM100 juta tahun ini dan syarikat itu berhasrat meningkatkan peruntukan pada tahun depan untuk merealisasikan visi mereka.

Menara QSR di Petaling Jaya, di mana syarikat itu mengendalikan dua jenama ikonik, KFC dan Pizza Hut.
Menara QSR di Petaling Jaya, di mana syarikat itu mengendalikan dua jenama ikonik, KFC dan Pizza Hut.

Chin Kan mendedahkan bahawa pendigitalan memberi impak positif kepada pekerja dengan kira-kira 20% hingga 25% daripada pengurus restoran meluangkan lebih banyak masa melatih pekerja untuk mempertingkatkan pengalaman pelanggan.

Tambahnya, sistem pengurusan inventori berasaskan awan, yang dilengkapi data dan teknologi kecerdasan buatan (AI), telah memudahkan pengurus restoran membuat pesanan bahan mentah mengikut keperluan, sekali gus mengelak kekurangan atau lebihan bekalan.

Di samping itu, katanya, pekerja di kaunter kini menumpukan perhatian sepenuhnya kepada penyediaan makanan berbanding melayani pelanggan memandangkan pelanggan boleh melakukan pesanan sendiri menerusi aplikasi di telefon pintar mereka atau kios yang kini terdapat di 330 cawangan KFC Malaysia.

“Sebanyak 80% hingga 90% daripada pelanggan KFC kami menggunakan perkhidmatan layan diri (self-service) untuk memesan makanan dan bebas meluangkan masa untuk memilih produk,” katanya.

Sementara itu, katanya, dapur pintar dapat memastikan pekerja di dapur menyediakan pesanan mengikut jadual, justeru pelanggan tidak menunggu lama dan menerima makanan berkualiti.

kiosk

Menyedari industri F&B secara keseluruhannya menghadapi kesukaran untuk mengekalkan dan merekrut pekerja disebabkan persekitaran kerja yang amat tertekan, Chin Kan berkata pendigitalan pada dasarnya membantu pekerja meningkatkan kualiti hidup menerusi peningkatan kemahiran menggunakan teknologi.

“Ini membantu mewujudkan persekitaran kerja lebih positif untuk kru restoran dan kami boleh memupuk kerja yang kondusif agar mereka boleh memberi tumpuan kepada perkhidmatan pelanggan dan menghasilkan produk berkualiti,” ulasnya merumuskan kesan positif pendigitalan terhadap gerak kerja operasi di restoran.

Mengulas mengenai keselamatan siber yang merupakan satu kebimbangan besar dalam era IR4.0 ini, Chin Kan berkata syarikat itu mempunyai sistem dinamakan QSR 360 Cyber Defence, serta bekerjasama dengan perunding terkemuka bagi melaksanakan pelbagai lapisan perlindungan.

“Kami juga telah melaksanakan beberapa kempen kesedaran dalam kalangan pekerja agar mereka tidak menjadi mangsa dan kami mengambil banyak langkah untuk memastikan data pelanggan dilindungi dengan baik,” tambahnya.

Follow us on
Contact US

QSR Brands (M) Holdings Bhd. (201101011105)

Menara QSR, VSquare @ PJ City Centre, Jalan Utara,
46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia

Halal Logo
Connect With Us

Send a message