Kuala Lumpur, 30 Mac — Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan berangkat menyempurnakan ‘Majlis QSR Brands Kongsi Bersama’ Dalam Usaha Membantu Pelajar Kurang Berkemampuan di ibu negara.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands), Nehchal Khanna, serta barisan pengurusan tertinggi syarikat berkenaan.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Pada majlis berkenaan, Sultan Ibrahim berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan cek bernilai RM1 juta yang disampaikan oleh Nehchal kepada wakil penerima sulung daripada institusi pendidikan terpilih.
Antara penerima tersebut ialah Sekolah Kebangsaan Tasek Utara di Johor Bahru (Sekolah Rintis Bangsa Johor) dan Pusat Jagaan Baitul Sakinah di Selangor.
Dalam ucapannya, Nehchal berkata inisiatif tersebut diinspirasikan daripada keprihatinan Seri Paduka Baginda yang sentiasa mengutamakan usaha memberi kembali kepada masyarakat serta menyokong pembangunan negara, sebagai keutamaan, meskipun dalam waktu yang mencabar.
“Inisiatif ini memberi tumpuan kepada pendidikan dan kebajikan dengan menyediakan asas yang lebih kukuh kepada para pelajar, di samping membuka peluang bermakna untuk memperbaiki kehidupan mereka,” katanya.
Melanjutkan kejayaan kempen Sehati dan program Biasiswa KFC, Kongsi Bersama mencerminkan kepercayaan QSR Brands bahawa kemajuan bermula dengan akses kepada pemakanan, peluang serta sistem sokongan yang membantu generasi muda Malaysia melangkah ke hadapan dengan lebih yakin.
Melalui program Biasiswa KFC, QSR Brands menanggung sepenuhnya yuran pengajian dan penginapan pelajar daripada golongan B40 tanpa sebarang ikatan, sekali gus memberi kebebasan kepada penerima untuk mengejar cita-cita mereka.
Dalam pada itu, kempen Sehati yang berkonsepkan ‘feed-to-educate’ telah menyokong seramai 1,400 pelajar sekolah rendah di seluruh negara menerusi penyediaan makanan asas bagi memastikan mereka kekal sihat dan fokus dalam pembelajaran.
Melalui Kongsi Bersama, QSR Brands berhasrat untuk memperluas komitmen ini dengan memberi penekanan kepada pendidikan dan kebajikan, di samping menyediakan asas yang lebih kukuh kepada kanak-kanak, serta peluang bermakna untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
Susulan penyerahan sumbangan kepada penerima terawal ini, inisiatif Kongsi Bersama disasarkan untuk diperluaskan kepada lebih ramai penerima di seluruh negara, dengan tumpuan terhadap agihan di seluruh Johor serta negeri-negeri lain.
Secara keseluruhannya, QSR Brands Kongsi Bersama berteraskan semangat perkongsian dengan menghimpunkan komuniti, rakan strategik dan pelanggan untuk membantu golongan yang memerlukan, selain memperkukuh komitmen QSR Brands dalam mencipta impak positif melangkaui penyediaan makanan.