PULAU PINANG, 4 Julai 2018 – QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands), syarikat pengeluar makanan bersepadu dan pengendali rangkaian restoran terbesar di rantau ini dengan lebih daripada 1,260 restoran KFC dan Pizza Hut di Malaysia, Singapura, Brunei dan Kemboja; telah menandatangani sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) buat julung kali dengan universiti tempatan, Universiti Sains Malaysia (USM), untuk saling berkolaborasi melaksanakan pembangunan restoran di kawasan yang berpotensi di Kampus Induk dan Kampus Kejuruteraan USM, Pulau Pinang.
MoU yang telah ditandatangani ini juga bertujuan bagi mewujudkan kerjasama dan meneroka peluang untuk membangun, menyokong dan memperkayakan aktiviti penyelidikan, program pendidikan dan latihan dalam bidang yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.
QSR Brands dan USM bakal berkongsi kepakaran dan sumber untuk membangunkan micro-credential degree dalam bidang pengurusan restoran dan pematuhan halal. Ini akan memberi peluang kepada anggota pekerja di restoran – restoran QSR Brands yang kompeten dan terlatih untuk memperoleh pengiktirafan profesional daripada USM khusus untuk pembangunan kerjaya mereka di dalam industri ini.
Di samping itu, QSR Brands juga bakal menyediakan penempatan latihan industri dan peluang pekerjaan kepada para pelajar USM di dalam jurusan yang berkaitan dengan industri pengurusan restoran mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan.
Manakala, USM sebagai universiti penyelidikan terkemuka di Malaysia, sedia menjalankan penyelidikan mengenai pematuhan halal serta penerokaan teknologi dan robotik yang berkaitan dengan perniagaan QSR Brands dan industri yang terlibat berdasarkan keperluan pasaran semasa.
MoU berkenaan telah ditandatangani oleh YBhg. Datuk Mohamed Azahari Mohamed Kamil, Pengarah Urusan QSR Brands dan Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia dalam satu majlis yang diadakan di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia.
Datuk Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata kerjasama strategik bersama USM ini membuka peluang baik kepada QSR Brands dalam usaha untuk memperluaskan perniagaan.
“Sebagai peneraju pasaran dalam segmen perkhidmatan restoran di Malaysia, kami meletakkan penekanan khusus terhadap strategi pembangunan kami supaya dapat memenuhi tuntutan pelanggan pada hari ini dan masa hadapan. Kami amat berbesar hati di atas kolaborasi ini kerana ianya membuka peluang buat QSR untuk memperlebarkan jaringan perkhidmatan restoran kami di kampus terkemuka seperti Universiti Sains Malaysia. Ini merupakan kolaborasi komersial buat julung kali diantara QSR Brands bersama universiti awam tempatan, USM, untuk pengkomersialan aset dan penjanaan dana sebagai pertambahan perolehan secara berterusan kepada potfolio pelaburan USM. QSR Brands berhasrat untuk terus melebarkan kolaborasi bersama universiti-universiti tempatan antaranya perjanjian kerjasama yang akan ditandatangani bersama Universiti Teknologi Malaysia untuk membuka restoran KFC di UTM Gurney Mall, @ Residensi UTMKL. Ini sejajar dengan matlamat kami untuk membuka 23 cawangan restoran KFC bagi tahun 2018 sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan jenama KFC.”
Tambah beliau, usaha ini mampu mengukuhkan kedudukan pasaran syarikat terutamanya menerusi aspek pensijilan professional dan pematuhan halal serta aplikasi teknologi. “Di samping itu, micro-credential degree yang bakal dibangunkan menerusi perjanjian ini akan memberi pengiktirafan ke atas kepakaran anggota pekerja kami di dalam bidang pengurusan restoran dan pematuhan halal. Kerjasama ini juga memberi peluang untuk kami menyelidik dan meneroka pelbagai pendekatan yang boleh diaplikasi di dalam proses pengeluaran dan perkhidmatan melalui kemudahan teknologi dan robotik.”