News and Press >MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN KERJASAMA QSR BRANDS (M) HOLDINGS BHD DENGAN UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN KERJASAMA QSR BRANDS (M) HOLDINGS BHD DENGAN UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

JOHOR BAHRU, 23 OKT 2018:  QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands), syarikat pengendali rangkaian restoran KFC di Malaysia, Singapura, Brunei dan Kemboja, hari ini menandatangani Perjanjian Kerjasama (MoA) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), bagi menubuhkan Kursi Syed Naquib Al-Attas di universiti tersebut.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Pengarah Urusan QSR Brands, Yang Berbahagia Dato’ Seri Mohemed Azahari Mohamed Kamil, dengan Naib Canselor UTM, Yang Berbahagia Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar, pada majlis di Dewan Banquet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Kampus Johor Bahru.

Menerusi perjanjian tersebut, QSR Brands bakal menyalurkan sumbangan sebanyak RM2 juta kepada Tabung Endowmen UTM yang bakal ditempatkan di Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS), UTM.

Hadir bercemar duli pada majlis menandatangani perjanjian berkenaan iaitu Canselor UTM, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor.

Penubuhan Kursi Syed Naquib Al-Attas adalah bagi memperkasa bidang penyelidikan dan akademik serta menggalakkan perkongsian kepakaran, sumber manusia dan idea di antara institusi pendidikan tinggi, industri serta masyarakat.

Seterusnya, inisiatif itu diyakini mampu menyumbang kepada kesejahteraan rakyat Johor sejajar dengan peranan UTM selaku Institusi Inovasi Strategik Johor.

Turut hadir iaitu Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Pengerusi QSR Brands, Yang Berhormat Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim. Berucap di dalam majlis berkenaan, beliau menjelaskan, dana yang disalurkan adalah berbentuk endowmen iaitu hasil pelaburan daripada dana yang disumbangkan sahaja akan digunakan bagi mengoperasikan Kursi Syed Naquib Al-Attas (90 peratus) dan pengurusan endowmen UTM (10 peratus).

Tambah beliau, Tan Sri Syed Muhammad al-Naquib bin Ali al-Attas adalah seorang tokoh falsafah Islam. Turut dikenali sebagai Syed Naquib Al-Attas, beliau merupakan antara skolar kontemporari dalam sains Islam tradisional – dalam bidang teologi, filosofi, metafizik, sejarah dan sastera. Beliau juga pelopor kepada idea Islamisasi pengetahuan atau Islamisation of knowledge.

“Falsafah dan metodologi beliau dalam pendidikan menumpu hanya satu matlamat – Islamisasi minda, jasmani dan jiwa serta dicerminkan melalui keperibadian dan kehidupan kolektif umat Islam serta yang lain.

“Tokoh besar ini juga meninggalkan pemikiran Islam dan tamadun dalam 27 buku karya beliau khususnya mengenai Sufisme, kosmologi, metafizik, Bahasa Melayu serta kesusteraan.

“Hari ini, Johor Corporation melalui QSR Brands terpanggil untuk memastikan legasi ilmu yang hebat ini diwarisi generasi muda kita. Semua khazanah itu bukan setakat diwarisi malah dicerna secara akademik untuk kita dapatkan pati ilmu dan falsafahnya,” katanya.

Sementara itu, Prof Datuk Ir Dr Wahid berkata, perjanjian dan penyaluran dana tersebut adalah penting dan signifikan kepada UTM.

“Perjanjian dan penyaluran dana ini secara langsung menunjukkan telah terjalin hubungan yang erat antara UTM dengan pihak industri, khususnya Johor Corporation melalui QSR Brands.

“Di samping itu, melalui dana yang disalurkan akan menyumbang kepada penyuburan budaya penyelidikan di UTM kerana sebahagian besar hasil pelaburan daripada dana tersebut akan digunakan untuk membiayai geran penyelidikan kepada pemegang Kursi Syed Naquib Al-Attas di CASIS, UTM Kuala Lumpur,” katanya.

RECOMMENDED POST

HTML Snippets Powered By : XYZScripts.com

×