News and Press >GANDINGAN QSR BRANDS DAN WIDAD EDUCATION MENAWARKAN PELUANG PENDIDIKAN, LATIHAN INDUSTRI DAN PEMBANGUNAN KERJAYA

GANDINGAN QSR BRANDS DAN WIDAD EDUCATION MENAWARKAN PELUANG PENDIDIKAN, LATIHAN INDUSTRI DAN PEMBANGUNAN KERJAYA

KUALA LUMPUR, 1 September 2018 – QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands), syarikat pengeluar makanan bersepadu dan pengendali rangkaian restoran terbesar di rantau ini dengan lebih daripada 1,260 restoran KFC dan Pizza Hut di Malaysia, Singapura, Brunei dan Kemboja; telah menandatangani sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Widad Education Sdn. Bhd. bagi kolaborasi untuk mewujudkan peluang pembangunan, sokongan dan memperkayakan aktiviti penyelidikan dan program pendidikan dan latihan dalam bidang-bidang yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Kerjasama QSR Brands meliputi penyediaan penempatan latihan industri kepada para pelajar Widad Education Sdn Bhd di dalam jurusan yang berkaitan dengan industri pengurusan restoran mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan dan penawaran tempat untuk pembelajaran berasaskan ‘work based learning’.

Di samping itu, QSR Brands dan Widad Education Sdn Bhd akan berkongsi sumber dan kepakaran di dalam bidang tertentu, serta memberi peluang kepada anggota pekerja di restoran – restoran QSR Brands yang kompeten dan terlatih untuk memperoleh pengiktirafan profesional khusus untuk pembangunan kerjaya mereka di dalam industri ini.

MoU berkenaan telah ditandatangani oleh YBhg. Dato’ Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil, Pengarah Urusan QSR Brands dan YBhg. Dato’ Mohd Rizal Bin Mohd Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif Widad Business Group dalam satu majlis yang diadakan di Royal Widad Residence UTM KL. Majlis ini turut melibatkan MoU bersama tiga (3) lagi organisasi iaitu Mastem, Widyatama Universiti dan Esa Unggul Universiti serta disaksikan ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti, Naib Canselor Widad University College, Ketua Pegawai Operasi Widad Education Sdn Bhd, dekan-dekan fakulti.

YBhg. Dato’ Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata kerjasama strategik bersama Widad Education Sdn Bhd ini adalah salah satu daripada inisiatif tanggungjawab korporat untuk menyumbang dalam sektor pendidikan.

“Kami amat berbesar hati untuk menyertai kolaborasi bersama Widad Education Sdn Bhd kerana ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kami di dalam menyumbang ke dalam pembangunan sektor pendidikan di Malaysia. Kerjasama ini juga memberi peluang kepada para pelajar untuk memperluaskan ilmu dengan pendedahan awal dalam industri pekerjaan melalui latihan industri yang bakal dilaksanakan melalui kolaborasi ini.

Tambah beliau, “Di samping itu, perjanjian ini akan memberi peluang kepada peningkatan kepakaran anggota pekerja kami terutamanya di dalam bidang pengurusan restoran dengan menyediakan pengiktirafan profesional yang khusus dalam bidang pengurusan restoran dalam industri yang serba kompetitif ini. Kolaborasi ini dapat menyumbang kepada aspek pembangunan kerjaya anggota pekerja kami seterusnya memberi peluang buat QSR untuk terus mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasaran dalam segmen perkhidmatan restoran terkemuka di Malaysia.

RECOMMENDED POST

HTML Snippets Powered By : XYZScripts.com

×